Sambungan.. dari petikan web Pameran Artifak Rasulullah SAW
Rasulullah ﷺ tersenyum. Lalu Baginda turun daripada mimbar dan menghampiri pokok tamar yang tidak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah ﷺ meletakkan tangan pada batang pokok tamar dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan.
Rasulullah ﷺ berkata pada pokok tamar itu: “Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى agar engkau akan menjadi pokok di syurga, supaya para wali Allah dapat memakan buah-buahmu.”
Batang tamar itu menjawab: “Saya memilih untuk ditanam ke dalam tanah dan akan tumbuh di syurga supaya wali-wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat dimana di dalamnya saya kekal.”
Lalu goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah ﷺ kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah ﷺ berkata: “Ia (pokok kurma) memilih negeri yang kekal berbanding negeri yang fana ini!”
Rasulullah ﷺ kemudian menyuruh supaya ditanamkan batang pokok tamar itu berhampiran mimbar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga.
Jabir RA berkata, “Pokok kurma itu juga menangis apabila ia mendengar orang berzikir atau mendengar bacaan al-Quran dekatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Inilah kisah batang kering dari pohon tamar yang menangis kerana sangat rindukan Rasulullah ﷺ. Begitu kasih, cinta dan rindunya sebatang pohon tamar ini kepada Rasulullah ﷺ hanya kerana Rasulullah ﷺ beralih mimbar untuk berkhutbah. Allahhuakbar!
Hasan al-Basri apabila meriwayatkan kisah ini, beliau pun menangis dan berkata; “Wahai hamba Allah! Batang tamar pun rindu kepada Rasulullah ﷺ, maka kamu semua lebih utama untuk merasa rindu bertemu dengan Rasulullah ﷺ.”
Cuba kalian bayangkan! Itu hanya sebatang pohon tamar yang berada dekat dengan Nabi kita. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana dengan kasih, cinta dan rindu kita kepada Rasulullah ﷺ, nabi yang akan memberikan syafaat kepada kita di akhirat nanti. Nabi yang menangis kerana sangat rindukan kita walau tidak pernah berjumpa dengan kita, umat baginda.
Pernahkah kita menangis kerana rindukan baginda? Jika betul kita rindukan baginda, sejauh mana kita tunjukkan bukti kecintaan dan rasa rindu itu? Apa yang kita lakukan?
Berselawat kepada baginda juga amat susah sekali walaupun kita tahu akan kelebihannya. Allahhu. Ampunkan kami Ya Rasulullah ﷺ.