Hai Assalammualaikum. Terkejut bukan? Sebab aku sudah lama tidak membuat entri sejak Januari lalu. Aku tak dapat tidur malam ini dan rasa nak menaip sampai aku pejamkan mataku dengan rapat. Hahaha. Okey tiba-tiba dapat satu idea nak buat pasal ini. Memandangkan esok kelas aku bermula pada pukul 10 pagi, maka aku merasakan boleh bersengkang mata pada malam buta ini ya.
Kali pertama aku menonton cerita ini, apa yang aku boleh katakan jalan cerita dia sangat istimewa, tidak 'cliche' seperti cerita-cerita yang biasa kita dengari. Sungguh bermakna cerita ini diselangi pula dengan bait-bait dan makna yang tersurat dan tersirat. Aku sungguh meminati watak Cikgu Sunan yang dilakonkan oleh pelakon tersohor kita tidak lain tidak bukan Datuk Rosyam Nor. Aku suka kata-kata yang diungkapkan oleh beliau dalam cerita ini. Masih terngiang-ngiang dalam benakku. "Jadi cikgu untuk Mendidik bukan untuk Mengajar".
Aku faham maksud beliau sebenarnya, bila mengajar budak ini bukan niat kita untuk nak dapat gaji semata. Tapi sebenarnya,kita didik mereka supaya dia boleh jadi orang berguna satu hari nanti dan bukan alasan gaji semata.
Aku pernah kerja kafa sekejap sebagai ustazah kelas darjah 1. Ikutkan hati memang nak marah sebab dengan karenah masing-masing. Kuncinya SABAR sahajalah. INSYA Allah kemanisan akan mengejar kita. Aku macam dapat rasa apa yang Cikgu Sunan rasa walaupun aku bekerja selama 3 bulan sahaja. Pernah suatu masa subjek tertentu ini, aku minta anak muridku untuk menyelak halaman yang dimintaku. Namun, aku jadi keliru dengan pengertiannya lalu tergendala seketika untuk aku mengajar mereka pada waktu itu. Aku cuba untuk memahami supaya aku dapat menerangkan kepada mereka agar mudah untuk aku menjelaskan keoada mereka. Dalam waktu itu, seorang budak berseloroh kepadaku, "mengapa aku tidak fahamkan dahulu sebelum aku masuk kelas mengajar mereka"🙂..Budak sekecil ini boleh berkata sedemikian kepada guru. Aku tidak mengambil hati. Aku cuma kecewa dengan diri aku. Aku tidak pandai mengawal. Tiada skill mungkin. Aku hanya terdiam.
Jika kita lihat dari sudut cerita Cikgu Sunan, kita boleh lihat jawapan yang diberikan oleh Alias kepada cikgunya mengenai dia memujuk beruknya, mencari beruknya yang lari dan macam-macam lagi..agak tidak masuk akal dengan soalan mengapa datang lambat ke sekolah. Hatta, Cikgu Sunan sendiri memberi arahan satu kelas untuk menyebut perkataan 'Beruk' sebanyak 3 kali pun mereka tidak tahu dan reti untuk beza bahawa itu adalah suatu ejekan atau doa😅 betapa marahnya cikgu dengan jawapan anak muridnya itu. Namun dari situ juga kita faham, nak tak nak itulah budak..itulah tabiat mereka. Apabila mereka tidak tahu, maka kita ajarlah mereka agar mereka akan tahu kelak.
By the way, tengok 3 kali cerita itu masih aku menitiskan air mata. Haih, tak boleh aku tengok sedih cikgu Sunan dengan rasa serba salahnya kepada murid yang ditamparnya (Alias). Oh baru ku teringat. Aku sungguh meminati lagu yang dinyanyikan Firdaus Rahmat yang bertajuk Kasih. Sungguh menusuk kalbu. Sekali dengar, menitis juga air mata ini. Hatiku ibarat tisu sekarang. Sekian sahaja coretan hati dari saya. Yang jadi cikgu..semoga anda sabar dan tabah dan apa ilmu yang anda curahkan kepada mereka sebenarnya adalah kunci pahala dan syurga buatmu.
dah masuk Nefflix kan, kak ana belum sempat layan lagi :)
BalasPadamBesttt syok tengok seisi kekuarga
Padam